Seorang lelaki ‘dipaksa’ baring di atas pengusung jenazah selepas dia dipercayai melakukan jenayah pecah kereta ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Seksyen 18 di sini, tengah hari semalam.

Dalam video berdurasi 1 minit 26 saat yang tular di media sosial, kelihatan orang ramai yang berada di lokasi menutup suspek yang terbaring dengan penutup pengusung jenazah terbabit selama beberapa saat.

Pengendali akaun Facebook Night Watch Squad Sek18 dalam status berasingan berkata, kejadian pecah kereta jemaah di kawasan masjid tersebut dikatakan sudah berlaku sejak dua bulan lalu.

Suspek dikatakan sempat memecahkan cermin sebuah kereta jemaah sebelum berjaya diberkas orang ramai.

“Setelah dua bulan banyak kejadian pecah kereta jemaah Masjid Hidayah Seksyen 18 ..maka hari ini tertangkapnya penjenayah ini ketika jemaah sedang solat Jumaat dan beliau sempat memecahkan cermin sebiji kereta jemaah…

“Terima kasih kepada ahli jawatankuasa Masjid Hidayah kerana memberi kepercayaan kepada NWS demi membanteras kes pecah kereta ini dan terima kasih kepada semua team serta penduduk Seskyen 18 yang memberi kerjasama demi menjaga keharmoniaan Masjid Hidayah Seksyen 18…

“Kepada penjenayah yang cuba membuat masalah dalam Seksyen 18 anda bersiap sedia lah...Ini Wilayah kami,”muat naiknya dalam status tersebut.

Sementara itu pelayar Facebook, Chafik Haikal II berharap si pelaku insaf selepas insiden terbabit.

“Biar rasa insaf sikit, kalau la mati tengah buat jahat,”tulisnya di bahagian komen.

Netizen yang menggunakan nama Ubi Kayu berharap suspek berubah selepas apa yang menimpa dirinya.

“Semoga dibukakan pintu hatinya,”katanya.

Manakala Muhd Amin pula berharap suspek insaf selepas kejadian itu.

“Harap lepas ni insaf la..kalau tak insaf tak tahu la,”muat naiknya dalam ruangan komen.